Thursday, March 27, 2008

Pengalaman Aku Dan Rakan Seperjuangan.....

Ini adalah cerita pasal kepimpinan parti kerajaan BN dan pembangkang. korang tahu tak kenapa pembangkang boleh menang banyak kerusi dalam PRU 12 yang lepas. bukan sebab pembangkang tu kuat tapi kerajaan yang leka ( pemimpin BN la tu ). pembangkang takde kempen apa2 pun. kalau ada pun dalam kelompok yang kecil. tak goyang lah kalau pembangkang (ADIL,DAP,PAS) nak lawan kerajaan. tapi..camna mereka boleh menang. heran kan.. jawapannya ialah rakyat dah tak tahan dengan kerenah pemimpin2 BN. untuk pengetahuan semua, rakyat Malaysia masih sayangkan BN dan UMNO. tapi benda2 yang mengarut dalam tu mesti dihentikan. percakaran sesama sendiri, perebutan kuasa, kepentingan diri dan segala macam kepincangan membuatkan rakyat menyampah dengan BN. macam dalam UMNO, istilah "Pak Turut" @ "Yes Bos" telah membekukan UMNO didalam zaman yang serba canggih ini. apa yang pemimpin cakap semuanya betul takde satu pun salah, kalau salah pun kena jadi betul jugak. sesiapa dikalangan orang bawahan adalah "dilarang" menegur dan memberi pendapat. kalau degil mereka akan dihukum dengan pelbagai cara dan gaya yang "menarik"... kebanyakan mereka yang memberi teguran ini adalah orang yang baik-baik dan ikhlas dalam perjuangan. tapi pemimpin UMNO tak pandang begitu. malah orang seperti ini dibenci dan dibuat musuh. akibatnya kita kehilangan ramai orang baik-baik dalam parti kerana tindakan pemimpin UMNO ini. ada dikalangan pemimpin UMNO yang ketika baru dilantik melaungkan ucapan supaya beliau ditegur kalau ada salah dan silap. tetapi bila dah pegang kuasa, hilang apa yang diperkata. kata pengikut langsung tak didengari. malah dimarahi pula pengikut yang menegurnya. dia saja yang betul, orang lain semua salah. korang nampakkan. benda ni berlaku disemua peringkat iaitu kebangsaan, perhubungan negeri, bahagian dan cawangan. last-last orang bawahan pun lari dari UMNO kerana fed up dengan keadaan ini. ini adalah persoalan kepimpinan yang harus dibetulkan. rakyat nampak semua ini dan mereka menjadi bosan dengan masalah kepimpinan yang tak sudah-sudah. jadi mesej yang disampaikan oleh rakyat dalam PRU 12 baru-baru ini adalah amat jelas dan tak perlu disangkal2 lagi. UMNO kena berubah.
Pada pembangkang pula, lagi banyak yang kena dibetulkan. aku taknak cakap pasal kepimpinan sebab kalau diceritakan 3 hari 3 malam tak habis. jadi kita cakap pasal yang umum iaitu perjuangan. kefahaman tentang perjuangan mesti difahami dengan betul-betul. bukan sekadar seronok nak menghentam je. cakap berkobar-kobar tapi bila diperlukan langsung tak nampak batang hidung. perjuangan apa tu. pada aku lah pembangkang ini boleh dikatakan "cakap tak serupa bikin". apa yang diperjuangkan selama ini langsung tak diambil peduli lagi bilamana dah dapat kuasa. "paku dulang, paku serpih". PAS adalah parti yang memperjuangkan ISLAM. tapi islam yang macamana? Bukan Islam Jumud yang diciplak dari radikal islam di timur tengah. perjuangan PAS adalah di Malaysia, dimana majoriti islamnya adalah melayu. jadi perjuangkan lah melayu. bukan kondem melayu. kalau UMNO memperjuangkan melayu, sokong la. bukan buat tak tahu je. ADIL pula, aku pun tak tahu nak cakap camna lagi. orang yang masuk ADIL ni samada dia buta atau gelap mata disebabkan duit dan angankan kuasa. mereka yang dalam ADIL ni kebanyakannya adalah hasil daripada kejayaan perjuangan UMNO. tapi mereka ni adalah orang yang tak mengenang budi, lantaran kecewa kerana tidak dapat tempat dalam UMNO. berselindung disebalik perjuangan keadilan yang sepatutnya disebut perjuangan pengkhianatan. lebih sesuai. untuk DAP pula, jangan terlalu ghairah memainkan isu perkauman. orang melayu lembut, sopan dan santun tetapi orang melayu juga boleh buat sesuatu yang menakutkan. sabar ada hadnya, jangan di cabar-cabar kesabaran itu. kita tak mahu peristiwa hitam berulang kembali. DAP kena sedar dan hormatkan perjanjian nenek moyang kita dulu.
ini adalah pandangan dan pendapat aku hasil dari pengalaman aku dan rakan-rakan seperjuangan. terpulanglah pada penilaian masing-masing. HIDUD MELAYU!!! HIDUP ISLAM!!!

Monday, March 24, 2008

Analisis: Antara kelemahan media utama, konflik Umno

SELEPAS impak kejutan berikutan keputusan yang memihak kepada pembangkang di beberapa negeri mula reda, muncul pula pelbagai teori yang cuba menjelaskan punca perubahan besar dalam corak pengundian. Satu teori yang agak popular menyatakan bahawa penggunaan internet sebagai media alternatif amat berkesan dalam menentukan arah tuju keputusan pengundian. Pilihan Raya Umum Ke-12 bukanlah julung-julung kalinya internet digunakan sebagai landasan berkempen calon. Walaupun internet mula digunakan sebagai satu media alternatif sejak Pilihan Raya Umum 1999, keberkesanannya tidak diberi perhatian yang sewajarnya, lantaran keputusan pemilihan yang memihak kepada kemenangan dua pertiga parti pemerintah Barisan Nasional (BN).
Tetapi dalam pilihan raya umum kali ini, berikutan kekalahan di luar dugaan yang menimpa BN hingga kecundang empat kerajaan negeri (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor) selain Kelantan – ramai terpinga-pinga dan tercari-cari punca kepincangan yang melanda BN. Ia sekali gus, mengaitkan peranan internet sebagai media alternatif dan seterusnya salah satu punca utama fenomena 'taufan politik yang menggegarkan BN'. Sekali imbas, penulis tidaklah berapa terpengaruh dengan pendapat berhubung peri kuatnya media alternatif kerana ada juga teori lain yang menyatakan media utama yang dikawal kerajaan BN turut memainkan peranan besar dalam usaha menjana keyakinan pengundi terhadap parti pemerintah – walaupun berat memihak kepada BN sehingga menyebabkan pengundi mengutarakan bantahan dengan memangkah parti pembangkang dalam kertas undi mereka.
Di dada akhbar atau menerusi kaca televisyen, penonton dikatakan sudah jemu dengan paparan iklan mahupun sisipan bahan berita yang pro-BN. Berdasarkan hujah ini, bolehlah disimpulkan bahawa seandainya media utama bertindak dengan adil, ia masih berpeluang menyisihkan media alternatif. Dalam perkataan lain, kedua-dua media utama dan media alternatif sama-sama berpeluang menggugat kedudukan masing-masing. Teori baru yang menyebut media alternatif sebagai senjata utama parti pembangkang, samalah sifat dengan pendapat yang sering diluahkan penganalisis selepas setiap pergerakan dalam naik turun indeks pasaran saham. Sekiranya BN tidak hilang empat negeri tambahan (selain Kelantan), maka teori sedemikian tidak akan wujud, malah dipersalahkan sebagai kelemahan pembangkang.
Walaupun internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah satu kuasa baru dalam saluran maklumat, ia tidaklah menjadi saluran alternatif yang berkesan berbanding saluran lain. Teori keberkesanan saluran internet sudah lama diperbincangkan banyak pihak berwibawa seluruh dunia. Pendapat oleh ramai pakar ialah saluran fizikal seperti papan iklan, media cetak dan bentuk iklan biasa yang lain masih amat berkesan dan berkuasa untuk menentukan pemikiran pengguna atau pemilih. Yang menjadi persoalan bukanlah kehebatan media alternatif, tetapi kelemahan dalam penggunaan media utama. Sekiranya kita teliti dengan terperinci cara media massa seperti televisyen, papan iklan dan kain pemidang digunakan, kita akan mendapati mereka tidaklah digunakan dengan kreatifnya dari segi bahan, isi kandungan atau mesej yang ingin disampaikan. Kandungan media hendaklah menjurus kepada isu utama, trend pemilih dan kaedah menangani sesuatu isu masyarakat yang dapat meyakinkan pengundi lantaran disokong oleh maklumat dan hasil analisa berasas. Kita mengambil contoh bahan lain seperti lagu yang diminati pendengar. Apakah pendengar akan suka sekiranya kita masih memainkan lagu zaman 60-an? Begitu juga dengan isu yang tidak menyentuh hati nurani mereka seperti kenaikan harga barang, keprihatinan pemimpin kepada rakyat dan pendidikan tinggi golongan muda. Isu dan kandungan media hendaklah sentiasa relevan dan menarik serta penting dan menjawab pelbagai persoalan pembaca. Jadi apakah punca sebenarnya pula yang menyebabkan kekalahan teruk BN kali ini, yang lebih teruk daripada 1969? Pendapat penulis mengenai punca kekalahan kali ini ada kaitan dengan unsur dalaman parti Umno itu sendiri. Bukan menjadi rahsia lagi bahawa apabila ada persengketaan pihak yang tidak sehaluan di dalam Umno, maka ketidakpuasan hati akan diterjemahkan ke dalam keputusan pilihan raya umum nanti. Contohnya, perpecahan dalam Umno yang membawa kepada pembentukan Semangat 46 menyebabkan Pas dapat merampas Kelantan pada 1990. Perpecahan seterusnya berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 pula menyaksikan kejatuhan Terengganu tahun itu. Persengketaan dalaman Umno akan mempengaruhi keputusan undi apabila jenteranya hilang daya usaha untuk mempengaruhi pemikiran pengundi atau sekadar memastikan kenderaan yang secukupnya disediakan untuk mengangkut pengundi ke pusat pembuangan undi. Tetapi apabila keadaan dalaman Umno reda semula, parti itu dapat merampas kembali Terengganu dan hampir merampas kembali Kelantan. Kini, Pilihan Raya Umum Ke-12 menjadi saksi era perpecahan yang terbaru berikutan kritikan yang dilemparkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan Pak Lah. Sedikit-sebanyak, ini memberi petanda awal kewujudan satu perpecahan 'senyap' sedang menular pada peringkat cawangan dan bahagian dalam Umno. Campur tangan saat terakhir oleh pihak pemerintah di Perlis menyaksikan nasib yang berlainan di sana. Ini adalah analisis berdasarkan data dan statistik keputusan pemilihan yang turut mengambil kira pecahan kaum. Jika sekiranya ada yang menuding jari ke arah pengaruh Hindraf yang menarik kaum berbangsa India supaya tidak mengundi BN, ada banyak data yang menentang pendapat itu. Di kawasan yang masyarakat bangsa Melayu adalah 90 peratus dan kaum India hanya tiga peratus, Umno tetap mengalami kemerosotan undi yang ketara. Ada yang menyalahkan kenaikan harga barang seperti minyak, daging ayam, tepung dan gula sebagai punca. Tetapi mengapa ada negeri tertentu tidak mengalami perubahan undi yang ketara? Apakah negeri itu lebih kaya dan mampu bertahan dengan kenaikan harga barang terbabit? Ada yang menyifatkan secara liar bahawa 'semua faktor yang di atas' menjurus kepada kekalahan apabila dicampurkan. Hakikat ini juga tidak boleh diterima sebegitu saja tanpa penelitian lebih terperinci. Sebaiknya, analisis secara rasional wajar dilakukan kerana corak pengundian adalah agak rasional. Berikutan pengumuman Pak Lah supaya dilaksanakan satu kajian bebas terhadap punca sebenar kekalahan BN, maka adalah diharapkan analisis yang lebih tepat serta disokong oleh data yang menyeluruh dan mengambil kira semua teori akan menjawab persoalan besar yang sedang berlegar dalam kepala semua pihak, setidak-tidaknya sebagai ramalan kepada trend pemilihan yang akan datang.

Sunday, March 23, 2008

Kenapa JEBAT Tewas?

DALAM Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat yang menjadi watak kedua paling menonjol dalam mitos itu telah tewas di tangan Hang Tuah. Sebenarnya mitos Tuah dan Jebat ini sudah menjadi milik rakyat dan semua lapisan tahu galur cerita dari kecil hingga membawa kepada pembunuhan Jebat.
Mitos ini adalah yang paling popular dalam kalangan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Semua orang boleh bercerita dengan baik secara kronologi kisah tragis orang Melayu ini. Banyak tafsiran dibuat terutama dengan mengaitkan psikik orang-orang Melayu dengan watak-watak yang ada dalam Hikayat Hang Tuah. Ada yang melihat Tuah sebagai wira kerana setianya kepada Sultan Melaka. Tetapi Sasterawan Negara Usman Awang melihat Jebat sebagai wira dalam naskhah teater Matinya Seorang Pahlawan.
Jadi, mitos ini bukanlah statik malah ia berkembang selepas diberi tafsiran demi tafsiran dan sebenarnya ia tidak terlepas atau terpisah dengan pemikiran politik orang Melayu. Kisah Tuah dan Jebat adalah manifestasi politik Melayu. Lihatlah, Sultan Melaka telah menganiaya Tuah dengan menjatuhkan hukuman mati. Tetapi apabila Jebat mengamuk kerana kezaliman sultan, rakyat bukan menyalahkan sultan tetapi Jebat. Ini kerana Jebat bukan berada dalam kelompok arus perdana.
Kembali kepada persoalan kenapa Jebat tewas, tentulah jawapannya kerana Jebat menyanggah sudut pandangan majoriti, daulat dan kemuliaan sultan. Biarpun sultan yang bersalah tetapi dari sudut psikik orang Melayu, lebih baik mengikut daripada menentang arus. Hikayat ini memberitahu, dalam pemikiran sesetengah orang Melayu, mereka menolak kelantangan, kritikan dan apa saja daripada orang yang tidak ada kuasa seperti Jebat. Jebat hanya ada tanggungjawab dan kesedaran tetapi tidak ada kuasa.
Biarpun ada sesetengah pandangan melihat kesetiaan Tuah bukan kepada sultan tetapi simbol pemerintah tetapi Tuah bermain “politik selamat” apabila dia berada dalam kelompok majoriti atau pandangan arus perdana. Tuah tidak berani menegur sultan walaupun sultan melakukan kesalahan. Jebat bukan saja berani menegur malah menyuruh sultan meninggalkan istana kerana dia percaya dia lebih layak menjadi sultan. Malangnya orang Melayu kerana mempunyai Tuah, wira yang tidak berani membetulkan sultan. Maka yang menewaskan Jebat bukanlah keris Taming Sari saja.
Jebat ditewaskan oleh sikap rakyat yang tidak berani untuk memberi pandangan berbeza. Pada beberapa zaman akan datang, psikik orang Melayu susah untuk berubah kalau “Jebat” mahu terus dibunuh. Yang tinggal hanyalah tukang angguk seperti Tuah. Orang Melayu memerlukan “Jebat” yang berani melontarkan pandangan tidak popular. Oleh itu orang Melayu tidak boleh melihat Jebat dengan sudut pandangan lama sebagai penderhaka dan biadab kepada Sultan Melaka. Itu silap.

Terima Kasih Kerana Memasuki Blog Ini..

Fikir, Renung, Hayati Perjuangan Ini...